Menurut penyelidik sejarah Selangor, Faisal Surani, Selangor yang dikenali pada hari ini hanya terbentuk pada November 1766, namun sebelum itu ia dikenali sebagai negeri Klang.
“Institusi Penghulu di Klang dipercayai telah wujud sejak zaman Empayar Srivijaya lagi dan kedudukan serta definisi penghulu ketika itu tidak sama seperti yang kita fahami pada hari ini.
“Institusi Penghulu di Klang dari zaman berkenaan hingga Perang Klang meletus merupakan institusi Orang Besar dan Ketua Adat yang berperanan sebagai Wakil Raja atau Pemerintah Mutlak negeri Klang.” ujarnya.
Pada zaman Kerajaan Melayu Melaka, Tun Perak pernah dilantik menjadi penghulu di Klang menggantikan penghulu sebelumnya.
“Sewaktu menjadi penghulu di Klang, Tun Perak telah membuat rumah di Jalan Rembau, Kampung Klang (sekarang Jalan Tengku Kelana) bersama orang-orang Melaka dan Minangkabau,” katanya.
Pada zaman pemerintahan Kerajaan Johor Lama pula, beberapa pembesar telah dihantar ke tempat-tempat yang berada di bawah naungannya termasuklah Klang.
“Kerajaan Johor Lama telah menghantar Dato’ Engku Klang sebagai Wakil Sultan Johor Lama di Klang.
“Di Kuala Selangor pula Dato’ Seri Agar Diraja dilantik sehingga tahun 1528 ketika Sultan Perak pertama mengambilnya menjadi pembesar di negeri itu,” katanya.
Pada masa sama, Kerajaan Pagar Ruyung dari Alam Minangkabau juga menghantar wakilnya iaitu Dato’ Tujuh Lekek Dato’ Bendahara Kuning Lima Kaum ke Klang bagi memenuhi permintaan masyarakat Minangkabau yang ramai di Klang ketika itu.
“Rombongan besar Dato’ Bendahara Kuning bersama-sama orang-orang Tanah Datar, Kuantan, Kampar dan Batu Bara ke Klang telah disambut secara besar-besaran mengikut adat oleh Dato’ Engku Pinang Tunggal iaitu Dato’ Engku Klang yang pertama.
“Disebabkan hubungan baik antara Kerajaan Johor Lama dan Kerajaan Pagar Ruyung serta kawasan Klang yang besar, maka kedua-dua Dato’ Engku Pinang Tunggal dan Dato’ Bendahara Kuning bersepakat dan bersetuju memerintah Klang secara bersama.
“Pemerintahan itu menyaksikan Dato’ Engku Klang mentadbir di Klang Darat dan Dato’ Bendahara Kuning pula memerintah kawasan Klang Pantai.
“Perkara ini dilambangkan dengan alat kebesaran iaitu Merak Mas. Satu daripadanya disimpan oleh Dato’ Engku Klang dan satu lagi dipegang oleh Dato’ Bendahara Kuning Klang,” katanya.
Sejak itu, Klang menjadi salah satu negeri di bawah pengaruh Minangkabau di Semenanjung Tanah Melayu yang dikenali sebagai Negeri Yang Sembilan.
Malah di dalam tambo juga ada disebut tentang perjanjian ini dan sempadan pemerintahan kedua-dua pembesar ini. Sempadan kuasa Dato’ Kaya Klang merangkumi:
“...dari penghabisan pasang (pertemuan Sungai Pencala dan Sungai Klang) hinggo panghabisan suruik (Pulau Ketam, Selat Melaka) Sungei Kolang kiri kanannyo, dari Sungei Pulo (berhampiran Jeram) di utaro hinggo Tanjung Rhu (Pulau Sialang atau Pulau Carey sekarang) di selatan...”
Keturunan Dato’ Engku Klang inilah yang menjadi Orang Besar Daerah Hulu Langat sekarang manakala keturunan Dato’ Bendahara Kuning pula memegang jawatan Orang Besar Daerah Klang turun temurun dan dikurniakan gelaran Orang Kaya Klang oleh Kerajaan Johor Lama kerana berpangkat Bendahara.
“Dalam kalangan Pembesar Tradisional di negeri Klang dan negeri Selangor kemudiannya, hanya Klang sahaja yang menggunakan gelaran ‘Orang Kaya’.
“Perkara ini kemudian berubah pada awal 1930-an ketika pemerintahan British apabila semua pembesar daerah diberikan gelaran yang sama,” katanya.
Tambahnya, dari segi adat istiadat Melayu adalah menjadi satu kesalahan jika para pembesar di dalam sesebuah negeri mempunyai gelaran yang sama.
Sekiranya berlaku, ia secara simbolik menggambarkan kelemahan kebijaksanaan pemerintahan.
“Secara asasnya gelaran penuh jawatan pusaka Orang Besar Daerah Klang adalah Dato’ Bendahara Kuning Klang Orang Kaya Maha Bijaya Klang.
“Uniknya setiap pemegang jawatan berkenaan pula mempunyai panggilan adat tertentu seperti Dato’ Bendahara Kuning Lima Kaum, Dato’ Bendahara Kuning Yang Kecil, Dato’ Bendahara Kuning Agor dan seterusnya hingga hari ini, selaras dengan budaya adat Minangkabau,” katanya
Dato’ Bendahara Kuning Lima Kaum iaitu Dato’ Kaya Klang yang pertama bertanggungjawab membuka Pengkalan Kampar dan Kampung Kuantan.
“Di Kampung Kuantan inilah letaknya Rumah Gadang Dato’ Bendahara Kuning Orang Kaya Klang suatu ketika dahulu. Satu-satunya rumah Dato’ Kaya Klang yang masih ada dan berusia hampir 100 tahun sekarang terletak di Jalan Kapar sekarang, berhadapan sebuah kilang minyak,” katanya.
Dato’ Bendahara Kuning Yang Kecil merupakan Dato’ Kaya Klang Kedua dan paling lama memerintah sehingga panggilan kepada beliau digelar Orang Kaya Kecil.
Dato’ Kaya Klang serta Orang Kaya Kecil sebenarnya adalah jawatan dan individu yang sama tetapi ada masanya panggilan Orang Kaya Kecil ini merujuk kepada Tok Muda atau waris kepada jawatan Dato’ Kaya Klang.
Dato’ Seri Agar Diraja, Dato’ Engku Klang dan Dato’ Bendahara Kuning Klang inilah yang dikenali sebagai Andika Sedia Diraja kerana mereka mempunyai kuasa penuh seperti Raja ke atas pegangan mereka.
Keturunan mereka yang telah memasuki 13 hingga 15 generasi masih ada lagi dan memegang jawatan berkenaan hingga hari ini sejak lebih kurang 500 tahun dahulu.
Gelaran Andika Sedia Diraja ini kemudian bertukar menjadi Dato’ Besar Empat Suku Klang dengan munculnya jawatan-jawatan Dato’ Jeram, Dato’ Penggawa Permatang dan terakhir sekali Dato’ Aru.
“Mereka inilah pemerintah tradisional Negeri Klang sebagai salah satu Negeri Sembilan yang asal sebelum kedatangan orang-orang Bugis.
“Setelah terbentuknya Kesultanan Selangor, keempat-empat Dato’ Besar Empat Suku bersama dengan Dato’ Engku Klang masih terus dikekalkan jawatan dan kuasa mereka,” katanya.
Pada masa sama sultan-sultan Selangor turut melantik wakil baginda di setiap daerah termasuk Klang dari semasa ke semasa sehinggalah meletusnya Perang Klang.
“Namun campur tangan British dalam pentadbiran negeri Selangor telah banyak mengubah peranan, tugas, bidang kuasa dan tanggungjawab para pembesar berkenaan.
“Dato’ Kaya Klang dan Dato’ Engku Klang masing-masing mempunyai Orang-orang Besar mereka sendiri yang terdiri daripada Tok Batin, Penghulu-penghulu Adat serta Lembaga Adat.
Mengikut adat, Orang-orang Besar inilah yang akan menentukan dan melantik Dato’ Kaya Klang dan Dato’ Engku Klang apabila berlaku kekosongan.
Semasa tertubuhnya Kesultanan Selangor, adat ini masih diteruskan dan diubahsuai di mana Sultan Selangor berperanan mengesahkan pelantikan ini melalui Istiadat Menjunjung Duli.
“Akibat Perang Klang, ramai penghulu adat ini telah meninggal dunia atau lari meninggalkan Selangor kerana kalah perang.
“Ditambah lagi dengan campur tangan British dalam hal ehwal istana telah menyebabkan istiadat pelantikan ini dilupakan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan