Huraian
Fiqh telah menetapkan makanan yang halāl dan yang harām. Makanan halal boleh dijelaskan dengan sesuatu bahan makanan yang suci dan baik di samping tidak melanggari syariat Islam sewaktu mendapatkan dan menggunakannya. Arak, khinzir serta anjing adalah contoh makanan yang telah ternyata tidak dihalalkan oleh syarak (haram) untuk memakannya. Ini adalah berdasarkan pada peraturan yang ditemui dalam al-Qur'an, kitab suci Islam. Peraturan lain ditambah kepada ini dalam fatwa oleh Mujtahid dengan berbagai peringkat ketegasan, tetapi mereka bukan sentiasa dipegang sebagai berautoritatif oleh semua. Menurut al-Qur'an, satu-satunya fokus yang secara jelas diharamkan adalah daging dari haiwan yang mati sendiri, darah, daging babi, dan haiwan yang didedikasikan selain untuk Tuhan.(Al-Qur'an 5:3).
Perkara berhubung Halal dan Haram telah diperjelaskan dengan begitu nyata dalam al-Quran. Setiap sumber makanan, sumber pendapatan, bahan keperluan harian dan sebagainya, wajib Halal. Dalam Islam tidak ada istilah ‘Separa Halal’, ‘Separuh Halal’ atau ‘Gred Halal dengan 3 Bintang’ atau sebagainya. Setiap bahan dan sumbernya perlulah 100% Halal malah suci dan baik dan tidak menimbulkan rasa was-was atau keraguan mengenai status Halalnya. Ini adalah kerana setiap sumber yang haram akan menjadi darah daging dan akan menjejaskan amalan, doa dan personaliti dalaman dan luaran seseorang.
Dalam kita membincangkan konsep Haram, ia bukan sahaja meliputi makanan yang tidak mengandungi khinzir, malah ia meliputi konsep yang lebih luas lagi seperti sumber pendapatan, cara hidup dan lain-lain lagi. Malah haram bagi umat Islam sesuatu barangan atau perkhidmatan itu, jika ia dicari dengan cara seperti mencuri dan menyalahi aturan penggunaannya dalam konsep undang-undang Islam.
Sumber bahan makanan dan minuman
Sumber utama makanan dan minuman manusia adalah dari haiwan, tumbuh-tumbuhan, bahan semulajadi, bahan kimia dan mikro-organisma yang mana ada di antaranya yang dihalalkan dan ada yang diharamkan.
Haiwan
Haiwan boleh dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu;
- a) Haiwan Darat.
- b) Haiwan Air.
Haiwan darat
Semua haiwan darat (mamalia maun @ mamalia herbivor) seperti lembu, rusa, kambing dan sebagainya, serta keluarga burung yang tidak beracun dan muncung paruhnya tumpul dan bengkok seperti itik, ayam, burung puyuh dan sebagainya halal dimakan, kecuali;
- Haiwan yang tidak disembelih mengikut hukum syarak. (Disembelih bukan kerana Allah).
- Babi.
- Anjing.
- Haiwan (mamalia maging @ mamalia karnivor) yang mempunyai taring atau gading yang digunakan untuk membunuh iaitu haiwan-haiwan buas seperti harimau, beruang, gajah, badak sumbu, kucing dan seumpamanya.
- Burung yang mempunyai kuku pencakar, paruh tajam, makan menyambar (burung pemangsa) seperti burung helang, burung hantu dan seumpamanya (karnivor).
- Haiwan-haiwan yang disyariatkan oleh Islam untuk dibunuh seperti tikus, kala jengking, burung gagak, lipan, lipas, lalat, ular dan seumpamanya (reptilia). (Namun begitu sejenis reptilia padang pasir itu biawak padang pasir (dhab) boleh dimakan dalam Islam.)
- Haiwan yang dilarang oleh Islam membunuhnya seperti semut, lebah, burung belatuk, burung hud-hud dan labah-labah. (Sejenis belalang daun yang darahnya tidak mengalir boleh dimakan menurut Islam.)
- Haiwan yang dipandang jijik (keji) (al-Khabaith) oleh umum seperti kutu, lalat, ulat dan seumpamanya.
- Haiwan yang hidup di darat dan di air (dua alam) seperti katak, buaya, penyu, anjing laut, singa laut dan seumpamanya (amfibia). Terdapat khilaf atau pertikaian mengenai isu ini (sila lihat di bawah).
- Semua jenis haiwan dan tumbuh-tumbuhan yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA adalah halal, namun haram dimakan yang berasal dari haiwan yang lahir dari salah satu keturunan dari babi atau anjing.
Haiwan air
Haiwan air ialah haiwan yang boleh hidup secara hakikinya di dalam air sahaja. Ia adalah halal dan boleh dimakan kecuali yang beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia. Ikan Belacak halal dimakan.
Tumbuh-tumbuhan
Semua jenis tumbuh-tumbuhan dan hasilnya adalah halal dimakan kecuali yang berbisa, beracun, memabukkan, membahayakan kesihatan manusia serta yang dihasilkan oleh bioteknologi DNA yang bersumberkan dari bahan yang haram.
Minuman
Semua air adalah halal diminum kecuali yang beracun misalnya racun atau ubatan merbahaya, memabukkan dan membahayakan kesihatan manusia dan bercampur dengan benda-benda najis. Arak, alkohol adalah haram dan berkaitan dengannya haram statusnya.
Bahan semulajadi
Semua bahan semulajadi seperti air, mineral dan lain-lain adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.
Bahan kimia
Semua bahan kimia adalah halal kecuali yang bercampur dengan najis, beracun, memabukkan dan membahayakan kesihatan.
Bahan tambahan (aditif)
Bahan tambahan makanan seperti penstabil, pengemulsi, pewarna, perisa, pengawet dan seumpamanya adalah halal kecuali yang dihasilkan dari sumber haiwan atau tumbuh-tumbuhan yang diharamkan oleh hukum syarak.
Bahan gunaan orang Islam
Bahan gunaan orang Islam boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu;
- a) Kosmetik
- b) Pakaian dan peralatan.
Kosmetik
Kosmetik adalah bahan-bahan atau ramuan yang terdiri daripada pelbagai unsur untuk dimasukkan ke dalam tubuh, disapu, digosok, dibalut, ditempel, dipakai dengan tujuan untuk kecantikan seperti pewarna rambut, bedak, gincu, pewarna kuku, maskap muka, celak dan seumpamanya.
Bahan kosmetik yang diperbuat daripada tumbuh-tumbuhan dan bahan kimia adalah boleh digunakan kecuali yang beracun dan membahayakan kesihatan. Bahan kosmetik yang diperbuat daripada sumber haiwan halal yang disembelih menurut kehendak syarak adalah boleh digunakan.
Nota tamabahan: Islam melarang penggunaan perwarna hitam dengan tujuan untuk menghitamkan rambut,penggunaan warna lain seperti warna perang dan sebagainya adalah dibolehkan,namun penggunaannya mestilah bertempat dan tidak mendatangkan keburukan di kalangan masyarakat serta bahan yang digunakan perlulah suci, selamat, halal dan tidak menyekat pengaliran air masuk ke dalam kulit kepala.Pembuatan tatu pada tubuh manusia dengan apa cara sekali pun juga adalah haram disisi Islam.
Pakaian dan peralatan
- Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat dari tumbuh-tumbuhan boleh digunakan.
- Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada bulu haiwan boleh digunakan kecuali bulu babi dan anjing.
- Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada tulang, tanduk,kerang-kerangan, kuku dan gigi haiwan yang dagingnya halal dimakan melalui sembelihan mengikut hukum syarak boleh digunakan.
- Bahan pakaian dan alatan yang diperbuat daripada kulit haiwan (kecuali kulit babi dan anjing) yang telah disamak boleh digunakan.
Membersihkan kulit haiwan dan manfaatnya
Membasuh kulit selepas menyamak
Menurut pendapat yang ashah, ketika menyamak kulit binatang tidak wajib dibasuh dengan air. Oleh itu, sunat sahaja ketika menyamak kulit itu disertai dengan air. Dalam hal ini, apabila kulit berkenaan selesai disamak, maka harus ia diperjualbelikan, walaupun ia tidak dibersihkan dengan air.
Akan tetapi dalam masalah menggunakannya untuk kepentingan ibadat sembahyang, seperti dibuat pakaian untuk menutup aurat dan seumpamanya, ataupun untuk kegunaan menyimpan barang yang basuh seperti air dan seumpamanya, tidak harus menggunakan kulit yang telah siap disamak bagi tujuan-tujuan tersebut (untuk dibawa sembahyang dan menyimpan benda yang basah) melainkan setelah dicuci dengan air, walaupun ia disamak dengan bahan yang suci, apatah lagi jika kulit itu disamak dengan menggunakan bahan penyamak yang najis, kerana kulit yang telah disamak itu diumpamakan seperti pakaian yang terkena najis.
Adapun jika dibersihkan najis itu dengan air sebelum kulit itu disamak adalah tidak memadai. Sebagai contoh, jika kulit yang belum disamak itu terkena najis mughallazhah lalu disucikan dengan air sebanyak tujuh kali dimana salah satunya bercampur tanah, maka tidak diterima thaharah (penyucian) itu. [1][2][3]
Kesimpulannyaa, sungguhpun kulit yang sudah disamak dianggap suci dari segi di mana sebelumnya ia dianggap sebagai bangkai, akan tetapi ia belum boleh dimanfaatkan (kecuali dalam masalah jual beli) melainkan setelah dibersihkan terlebih dahulu dengan air setelah kulit berkenaan siap disamak. Adapun pembersihan kulit dengan menggunakan air sebelum atau semasa kulit disamak adalah tidak memadai.
Penggunaan kulit Binatang
Penggunaan kulit binatang yang telah disamak adalah diharuskan dalam Islam sama ada dijadikan kasut, pakaian atau sebagainya. Walau bagaimanapun perlu diingat bahawa kulit anjing dan babi adalah tidak harus dimanfaatkan walaupun sesudah disamak.
Seperti yang sudah dimaklumi bahawa anjing dan babi itu keduanya adalah najis mughallazah (najis berat). Selain ditegah memakan daging babi dan anjing, ditegah juga memanfaatkan segala anggota binatang itu seperti kulit, bulu dan sebagainya, kerana babi dan anjing itu sendiri adalah najis al-‘ain.)
Sesuatu yang basah atau cecair yang datang daripada najis anjing, dan babi, seperti tahi, kencing, air liur, peluh dan darah adalah najis. Begitu juga sesuatu yang kering daripadanya seperti bulu dan kulit apabila disentuh dalam keadaan basah juga adalah najis. Cara menyucikan daripada najis ini, hendaklah dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali. Salah satu daripadanya air yang bercampur tanah. [4]
Ada juga sebahagian ulama seperti al-Awza’ie dan ulama yang sependapat dengan beliau mengatakan bahawa binatang buas seperti harimau, serigala dan sebagainya, adalah ditegah menggunakannnya. Mereka berhujah dengan hadis daripada Usamah yang maksudnya :
Dalam riwayat yang lain, daripada Usamah yang maksudnya :
Namun menurut ashab asy-Syafi’e, semua kulit bangkai itu termasuk kulit binatang buas adalah suci setelah disamak, melainkan kulit anjing dan babi. Mereka berhujah dengan beberapa dalil daripada hadis, di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas, beliau berkata yang maksudnya :
Dalam hadith yang lain, daripada ‘Aisyah Radiallahuanha yang maksudnya :
Hadith di atas menunjukkan bahawa kulit bangkai binatang adalah suci setelah disamak. Kulit bangkai di sini adalah umum termasuklah juga kulit binatang buas melainkan apa yang telah disepakati akan larangannya iaitu anjing dan babi.
Adapun hujjah daripada hadis yang dikemukakan oleh Al-Awza’ie sebelum ini boleh dimaksudkan kepada kulit binatang buas yang masih berbulu, kerana pada kebiasaanya kulit binatang buas itu digunakan dalam keadaannya yang masih berbulu. Oleh itu, kulit binatang buas itu tidaklah najis, namun yang dimaksudkan dalam hadis itu ialah bulu yang ada pada kulit tersebut. Ini kerana kulit bangkai yang masih nyata berbulu tidak akan suci walaupun setelah disamak, kerana samak itu tidak akan memberi kesan kepada bulu.[5]
Oleh itu, kulit yang telah disamak dan suci, harus digunakan samada untuk dijadikan pakaian, tempat menyimpan barang yang basah atau kering, dijual beli dan boleh dibawa ketika sembahyang. Adapun memakan kulit bangkai yang disamak, menurut qaul qadim dan pendapat yang ashah adalah haram sama ada ia binatang ma’kul (yang boleh dimakan) atau ghair al-ma’kul (tidak boleh dimakan). [6]
Memandangkan kepentingan penggunaan barangan yang diperbuat daripada kulit di mana setengahnya dianggap sebagai keperluan seharian, tidak hairanlah ia menjadi sumber ekonomi bagi sesetengah pihak. Banyak barang-barang yang diperbuat daripada kulit yang boleh kita lihat di pasaran seperti kasut, beg, dompet, baju, tali pinggang dan sebagainya dengan pelbagai jenama dan kualiti yang berbeza-beza. Sudah tentu juga ia diperbuat daripada kulit binatang yang berbeza. Malahan terdapat sesetengahnya diperbuat daripada kulit yang najis iaitu kulit anjing dan babi.
Hukum memakan haiwan dua alam (reptilia dan amfibia) dan seumpamanya
Tidak terdapat sebarang dalil yang khusus mengatakan binatang dua alam itu haram dimakan. Persoalannya, bagaimana pula hukum ini boleh keluar apatah lagi ia merupakan qaul yang masyhur dalam Mazhab Syafi’e sepertimana dinukilkan oleh kitab-kitab An-Nawawi; Imam Rafi’ie dan Al-Ghazali. Pendapat ini juga dipegang oleh Mazhab Hanbali.
Mereka yang mengatakan binatang dua alam ini haram di makan berdasarkan hadis berikut:
Dari Abdur Rahman ibnu Uthman menerangkan,
Hukum ke atas katak ini, kemudian diqiaskan kepada yang hidup sepertimana katak.
Sabdanya lagi,
Hadith di atas merujuk kepada hidupan laut. Adapun binatang dua alam ini tidak termasuk dalam keterangan di atas kerana mereka juga hidup di darat. Maka berdasarkan firman Allah di bawah, mereka membuat kesimpulan bahawa haiwan dua alam itu haram dimakan.
Di samping itu terdapat juga beberapa hadith yang menjelaskan ayat di atas iaitu:
Muhammad bersabda,
Ulama’ mengqiaskan ikan itu kepada segala jenis hidupan laut yang hanya tinggal di dalam laut/air. Oleh itu, binatang 2 alam tidak termasuk.
Walaupun begitu, perlu diketahui bahawa dalam Islam, asal setiap sesuatu ciptaan Allah adalah harus. Ia tidak diharamkan melainkan jika ada nas yang sahih lagi sharih (jelas/tegas) dari syari’e yang mengharamkannya. Jika di sana tidak ada nas yang sahih – seperti ada nas tetapi dengan hadith dha’if – atau nas berkenaan sahih tetapi tidak sharih dalam menunjukkan keharamannya, maka hal ini akan kekal atas sifat asalnya sebagai hal yang diharuskan.
Daripada Abi Darda’, Muhammad bersabda,
Maka, berdasarkan dalil yang dipakai oleh mereka yang mengatakan binatang dua alam itu haram, kita dapati tidak terdapat satupun yang khusus menunjukkan ke arah keharamannya. Dalil yang paling hampir ialah mengenai katak. Tetap berdasarkan kaedah yang telah diutarakan, jika menerima hadith ini menunjukkan keharaman, keharaman itu hanyalah ditujukan kepada katak. Mengqiaskannya kepada semua yang hidup dua alam itu tidak tepat.
Pendapat yang kuat ialah secara umumnya, binatang dua alam itu halal. Dia didiamkan syara’. Hanya saja kita perlu ingat, bahawa Islam juga ada menggariskan satu lagi kaedah dalam mengenalpasti halal atau haramnya sesuatu binatang itu, iaitu berdasarkan kepada firman Allah S.W.T.:
Dari ayat di atas, illat (sebab) kepada keharaman bangkai, darah yang mengalir, babi adalah kotor. Berdasarkan illat ini, kita boleh mengqiaskannya kepada apa-apa binatang yang mempunyai illat yang sama dengannya iaitu kotor. Sebagai contoh, sekiranya kita melihat sesuatu binatang itu sememangnya kotor dari segi gaya hidup dan seumpamanya, maka ia menjadi haram. Walaupun begitu, perlu diingat, kadang-kadang uruf (kebiasaan) dari satu tempat ke satu yang lain itu berlainan. Mungkin pada masyarakat negara Malaysia, binatang itu menjijikkan, tetapi pada masyarakat berbangsa China tidak pula.
Maka, setiap apa yang dinyatakan dalam nas yang mengatakan ia haram, itulah haram. Yang tidak dikatakan haram, maka ia didiamkan syara’. Namun Islam menitikberatkan kebersihan. Tinggalkanlah sesuatu perkara yang dianggap pada dirinya jijik dan kotor. Tetapi jangan pula kita menjadi pelik jika ada orang yang memakannya di negara lain.
Hukum makan telur penyu, tuntung dan telur buaya dan menggunakan organ dalaman binatang buas untuk membuat ubat
Buaya - menurut pandangan yang sahih bahawa adalah haram memakannya, kerana ia juga tinggal didarat dan mempunyai taring, walaupun ia menghabiskan masa yang lama di dalam air, akan tetapi sebab yang awal tadi mendahului hukum (binatang darat yang bertaring). Ensiklopedia Fiqh Kuwait mengatakan bahawa buaya diharamkan oleh Mazhab Syafie dan Hanbali:
Maka, telur buaya juga haram dimakan.
Penyu - Binatang yang memang tinggal di laut dan juga yang tinggal di darat, tiada khilaf dikalangan ulama’. Akan tetapi, binatang yang hidup dua alam, wujudnya khilaf dikalangan ulama’, ternasuklah penyu. Berkata Dr Abdullah Faqih :-
Ibn Qudamah rh. di dalam al-Mughni mengatakan bahawa penyu boleh dimakan sekiranya disembelih. Katanya :
Dikalangan ulama’ yang berpegang kepada pandangan ini membenarkan memakan telur penyu.
Mengenai berubat dengan menggunakan barangan haram, disini terdapat pandangan Syiekh Dr Yusuf al-Qaradhawi, di dalam bab (ضرورة الدواء) darurat kerana berubat, didalam buku halal dan haram (ms 49-50) (terjemahan Ustaz Zainys, al-ahkam). Darurat kerana berubat ialah, kesembuhan suatu penyakit bergantung kepada makanan yang diharamkan. Mengenai hal ini, para fuqaha (ahli fiqh) telah berselisih pendapat mengenainya. Sebahagian mereka tidak menganggap berubat dalam keadaan ini sebagai darurat yang memaksa sebagaimana dalam masalah makan. Pendapat ini bersandarkan kepada Hadith:
Sebahagian ahli fiqh pula mengatakan bahawa ia dapat digolongkan di dalam keadaan darurat. Mereka menganggap masalah memakan ubat sama seperti masalah makan (boleh makan yang diharamkan ketika darurat). Dalil golongan yang membolehkan memakan yang haram kerana berubat ialah, Muhammad pernah memberi rukhsah (keringanan) memakai sutera kepada Abdul Rahman bin Auf dan al-Zubair bin al-Awam. Ini disebabkan penyakit yang menimpa mereka berdua, sedangkan pemakaian sutera adalah dilarang dan pemakainya diancam.
Barangkali inilah pendapat yang lebih hampir kepada roh Islam yang bersifat sentiasa melindungi kehidupan manusia. Sifat ini boleh kita perolehi di dalam setiap pensyariatan dan pesan-pesannya.
Namun, rukhsah (keringanan) memakan ubat yang mengandungi bahan yang diharamkan ada beberapa syaratnya, iaitu:
- Dapat benar-benar membahayakan kesihatan jika tidak memakan ubat berkenaan.
- Tidak terdapat ubat lain yang halal sebagai penggantinya.
- Hal ini disahkan oleh doktor yang dapat dipercayai dari sudut kepakaran ilmu perubatannya dan agamanya.
Tidak ada darurat dari konteks perubatan yang sampai ke peringkat terpaksa memakan sesuatu yang diharamkan sebagai ubat. Cuma, hanya menetapkan prinsipnya sahaja sebagai langkah berjaga-jaga (ihthiati) kepada orang Islam yang kadangkala berada di suatu situasi di mana tidak ada apa-apa melainkan yang diharamkan sahaja.